Pepatah ada mengatakan, tak kenal maka tak cinta. Sejauh mana ketepatan pepatah ini boleh difahami oleh semua. Ini kerana ramai juga pasangan yang mengakui amat menyintai pasangan masing-masing malahan ada yang sudah bertahun hidup sebumbung sebagai pasangan suami isteri berdasarkan cinta atau suka. Tetapi kenapa banyak rumahtangga yang bina atas dasar kenal dan cinta ini roboh di tengah jalan?

Jawapannya mudah! Mereka memang bercinta tapi sebenarnya mereka tidak kenal di antara satu sama lain. Mereka tidak kenal hati budi orang yang mereka pilih untuk menjadi pasangan hidup, mereka tidak kenal sifat buruk dan baik orang yang mereka cintai itu, mereka tidak mendalami erti sebenar sebuah cinta dan perkenalan. Sebab kalau masing-masing kenal dan cinta, sudah tentu mereka mampu mengendali kemudi dan bahtera rumahtangga walau sebesar mana badai yang melanda.

Mengenali pasangan bukan semata-mata tahu namanya, siapa ayah serta adik-beradik dan di mana tinggalnya. Mengenali pasangan terutama bagi wanita, adalah peka! Peka bererti lekas berasa sesuatu, atau lekas bertindak balas. Peka juga bermaksud menyedari dengan sesungguhnya dan menghayati sesuatu. Jadi maksud lainya, adalah menghayati dan mendalami siapakah orang yang tidur sebantal dengan kita itu.

Mencintai suami atau pasangan juga seperti menerima diri beliau seadanya. Sama ada baik atau buruk, sama ada positif atau negatif. Yang baik dan positif, kita cuba contohi dan yang buruk serta negatif , berusahalah kita mengimbanginya. Baik suami ataupun isteri apabila mereka benar-benar mengenali pasangan, itu barulah dinamakan cinta sejati.

Bersikap matanglah dalam menangani kekurangan pasangan kerana kematangan anda boleh mengubah sedikit demi sedikit sikap buruk pasangan masing-masing. Lelaki biasanya akan cair dengan sikap kelembutan dan wanita akan jadi isteri yang taat jika mendapat suami yang menjadi idamannya.

Jika ini semua mampu kita lakukan, maka istilah " Tak kenal maka tak cinta, sudah kenal akan taat dan setia" dapat kita semadikan dalam rumah tangga.

Post a Comment

 
Top