UiTM ‘Halau’ Ibu Datang Hadiri Majlis Konvokesyen Anak Gadisnya | Seorang ibu yang datang dari Sarawak untuk menyaksikan anak perempuannya menerima segulung ijazah pada majlis konvokesyen UiTM Shah Alam tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan hanya disebabkan tidak mematuhi kod etika berpakaian yang telah ditetapkan.
Ibu berkenaan yang dikenali Marjorie Abdullah telah berkongsi kisah pengalamannya itu menerusi akaun Facebook peribadinya serta memuat naik dua gambar ketika menghadiri konvokesyen anak gadisnya di UiTM Shah Alam.
Kod etika berpakaian bagi majlis konvokesyen UiTM telah menetapkan, para pelajar perempuan serta ibu atau waris wanita yang hadir ke majlis itu hanya dibenarkan memakai baju kurung atau blaus, manakala seluar adalah tidak dibenarkan.
Dia tidak tahu mengenai kod etika pakaian yang telah ditetapkan oleh UiTM itu kerana dia tinggal di Sarawak. Marjorie juga mendakwa arahan mengenakan pakaian itu tidak dinyatakan dalam kad jemputan.
“Saya tidak sepatutnya memakai seluar untuk menghadiri konvokesyen itu, tetapi saya berada di Sarawak dan mereka tidak menerima alasan itu,” katanya.
Akibat dari insiden itu, anak gadis dan tunangnya mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis konvokesyen masing-masing selain dari tidak berpuas hati dengan tindakan UiTM yang langsung tidak mahu bertolak ansur dengan ibunya yang datang dari jauh.
Insiden yang menimpa Marjorie itu mendapat perhatian dari netizen dan rata-ratanya melahirkan rasa simpati terhadap apa yang terjadi pada Marjorie dan anaknya.
Pengguna Facebook mempertikaikan tindakan UiTM yang tegas tidak bertempat sehingga menidakkan seorang ibu melihat anaknya mengenggam segulung ijazah.
Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar menyatakan kod etika pakaian majlis berkenaan bukanlah peraturan baru. Ia sudah lama diamalkan dan menafikan dakwaan Marjorie yang mengatakan kod etika itu tidak dijelaskan dalam kad jemputan.
“Etika ini perlu diikuti, kerana ia melibatkan disiplin dan sekiranya tidak ditetapkan, pelbagai ragam pakaian akan dikenakan,” katanya.
Reaksi yang berlainan pula dari bekas-bekas pelajar UiTM yang menyifatkan tindakan Marjorie itu adalah satu tindakan yang tidak cerdik kerana dia telah berkongsi kebodohan dirinya kepada orang ramai.
“Masuk rumah orang kenalah ikut cara rumah orang. Sama juga dengan kes ini, masuk ke majlis orang, kena ikut kod etika pakaian yang telah ditetapkan oleh UiTM,” kata mereka.
Post a Comment