Kuala Lumpur: Pihak tidak bertanggungjawab yang menggelarkan diri mereka kumpulan penyokong murtad di Malaysia dan Singapura melalui laman sosial Facebook (FB) dikesan terus aktif di laman berkenaan, malah lebih mengejutkan apabila sehingga semalam, lebih 3,000 orang didapati menyukai pautan dinding kelab terbabit.
Laman yang diaktifkan semula pada Oktober 2012 sebelum ini menerima kecaman masyarakat Islam di negara ini berikutan tindakan melampau mereka memburuk-burukkan agama Islam dengan kata-kata kesat serta hinaan sebelum laman itu ditutup kerana dipercayai digodam pihak tertentu.
Bagaimanapun selepas hampir setahun diaktifkan semula, laman itu terus giat mempelawa mana-mana individu supaya menyumbangkan sokongan moral kepada golongan berkenaan dan amat membimbangkan ialah tidak sampai setahun, ribuan orang menyukai pautan dinding kelab berkenaan selain komen sensitif mengenai Islam.
Pemerhatian Harian Metro mendapati kumpulan itu masih menggunakan nama sama iaitu ‘Murtads in Malaysia and Singapore’ dipercayai ditubuhkan individu menggunakan pelbagai nama antaranya Nurulhuda Mohammad dan Zainab Abu Salama.
Laman itu juga dipercayai terbuka keahliannya kepada mereka yang murtad daripada Islam untuk mengetengahkan pandangan dan perasaan mereka selain sesiapa saja yang ingin menyumbangkan sokongan moral kepada mereka.
Selain ahli yang sudah murtad, ahli yang bukan beragama Islam turut mengutuk dan menghina Islam secara terbuka serta memberi gelaran yang melampau bukan saja kepada Nabi Muhammad, malah kepada mufti, ulama serta pengikut agama Islam.
Februari tahun lalu, Harian Metro pernah melaporkan kewujudan kumpulan terbabit dan laman sosial berkenaan disekat pihak berkuasa serta digodam sebuah kumpulan penggodam bergelar ‘Dragon Force’ hingga ditutup.

Post a Comment

 
Top